"Hidup ini umpama roda, kadang-kadang kita di atas dan kadang-kadang kita di bawah."
Sememangnya hidup di dunia ini memerlukan antara satu sama lain dalam apa jua keadaan sekalipun terutama semasa sakit, mendapat kesusahan, ditimpa bencana dan sebagainya. Kerana kehidupan kita hanya Allah yang mengetahuinya, sama ada kita akan susah atau senang kemudiannya.. apapun kehidupan kita ini pastinya ada turun naiknya. Realitinya tiada siapa yang dapat hidup bersendirian. Oleh kerana itu, kita hendaklah saling bantu-membantu di antara satu sama lain dan berusaha mengekalkan keharmonian dalam kehidupan supaya ketenangan jiwa dapat diperolehi dan kebahagiaan hidup dapat dinikmati.
Agama Islam mengajar umatnya supaya menanamkan dalam jiwa mereka sifat-sifat mahmudah (terpuji) seperti berbuat baik, prihatin, bertolak ansur, bekerjasama, berkasih sayang dan memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dan sebagainya.
Jika sifat-sifat mahmudah tersebut ada pada diri seseorang, sudah tentu akan melahirkan manusia yang pengasih dan pemurah yang sekali gus akan mengukuhkan tali persaudaraan sesama kaum kerabat, jiran tetangga, sahabat handai dan masyarakat. Inilah faktor utama ke arah menjamin kesejahteraan hidup beragama, berbangsa, bernegara dan hidup bermasyarakat. Di dalam Al-Qur'an Allah S.W.T memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya bertolong-tolongan dan bantu-membantu ke arah perkara yang berkebajikan, sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al Maa-Idah ayat 2 tafsirnya :
"Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat Azab Seksa-Nya bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya".
Bantuan bukanlah hanya melibatkan harta benda sahaja tetapi ianya boleh dilakukan dengan bermacam-macam cara, baik dengan wang ringgit, tenaga atau fikiran. Contohnya orang yang berharta boleh menderma hartanya kepada mereka yang memerlukan kerana perbuatan itu sebagai tanda mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T kepadanya. Manakala bagi orang yang tidak berkemampuan mereka bolehlah menyumbangkan khidmat tenaga seperti bergotong-royong, menunjuk cara dan sebagainya.
Sesungguhnya apa pun jua bantuan yang disumbangkan dengan tujuan ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T akan dapat menghapuskan dosa dan kesalahan, sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al Baqarah ayat 271 tafsirnya :
"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu secara terang, maka yang demikian adalah baik kerana menjadi contoh yang baik. Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan".
Rasulullah s.a.w adalah contoh yang terbaik untuk diikuti oleh seluruh umat manusia kerana Baginda Rasulullah s.a.w merupakan seorang yang amat pemurah dan dermawan. Ibni Abas Radiallahuanhuma pernah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w itu orang yang paling pemurah terhadap semua orang dan Baginda akan lebih pemurah lagi di bulan Ramadan. Baginda tidak pernah berkata 'tidak' kepada sesiapa yang meminta kepada Baginda di sepanjang hayat Baginda, sebagaimana dalam sebuah hadis yang maksudnya :
"Dari Ibni Abas Radiallahuanhuma ia berkata : Adalah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam seorang yang paling pemurah dan Baginda lebih pemurah lagi dalam bulan Ramadan". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memberikan pertolongan dengan ikhlas kepada siapa sahaja yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa, keturunan, agama dan negara. Kemurahan hati baginda itu telah diceritakan dalam sebuah hadis yang maksudnya :
"Dari Anas Radiallahuanhu, sesungguhnya seorang lelaki telah meminta kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam kambing kepunyaan Baginda yang digembala di antara dua gunung. Lalu Baginda pun memberikan kepada lelaki itu kambing tersebut. Lalu lelaki itu pulang ke negerinya dan kepada kaumnya dia berkata : Hendaklah kamu mengikut Islam kerana sesungguhnya Muhammad memberi bantuan yang tidak sedikit, sebagai orang yang tidak takut kepapaan". (Riwayat Al-Imam Muslim)
Dari kisah tersebut jelas menunjukkan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w memberikan bantuan tanpa memilih orang yang tertentu sahaja, Baginda ikhlas memberikannya kepada sesiapa saja, Baginda bersikap terbuka dan memberikan bantuan dengan seadanya selagi Baginda mampu dan terdaya. Itulah sifat yang wajar kita contohi, bantulah orang-orang yang susah dan memerlukan pertolongan. Bersimpatilah kepada mereka yang hidup sengsara dan menderita. Bayangkan jika keadaan itu menimpa diri kita, apakah kita sanggup menghadapinya tanpa memerlukan pertolongan orang lain?.
Agama Islam mengingatkan manusia supaya sentiasa murah hati dan saling bantu-membantu sesama mereka, jangan hidup nafsu-nafsi. Ingatlah bahawa air tidak sentiasa pasang, tetapi ada surutnya. Jangan lupa di kala senang tetapi ingat di kala susah. Tiada ruginya membelanjakan harta di jalan kebaikan tetapi sebaliknya akan mendapat keuntungan dan ganjaran yang berlipat ganda serta mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 261 tafsirnya :
"Perumpamaan nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan pada jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ini pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah melipatgandakan ganjaran bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas Kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan